Division of Academic & International |  Main Campus

USM Perluas Sayap ke Benua Eropah, Tawar Program Offshore

 2022 06 14 offshore 08 fia 388d6707
Lawatan delegasi yang diketuai oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ke Turki pada 12 - 17 Jun 2022 yang antara lain melihat dari dekat persediaan penawaran program Universiti Sains Malaysia USM yang membuka lembaran baharu kaedah pengajian tinggi negara.
Yang turut sama dalam delegasi Menteri Pengajian Tinggi ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Polisi) Dato' Dr. Haji Megat Sany bin Megat Ahmad Supian, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Dato' Prof. Dr. Husaini bin Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Dato’ Profesor Dr. Mohammad Shatar bin Sabran. Yang turut sama hadir ialah Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul YM Tengku Mohd Dzaraif bin Raja Abdul Kadir.
Lawatan ini turut disertai oleh delegasi USM iaitu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, Dekan Institut Pengajian Siswazah Profesor Dr. Azlan Abdul Aziz dan Pengarah Pejabat Pembangunan Korporat Strategik Haji Muhamad Sabri Said.
USM terus berusaha menarik perhatian komuniti antarabangsa untuk mengikuti pengajian ijazah pertama dan ijazah tinggi. Kerana itu USM dan European Global School University (EGS), yang beribu pejabat di Paris, memeterai perjanjian pada bulan Disember 2021 untuk menawarkan program persisir USM di Cawangan Besiktas, Istanbul Turkiye.
Ini merupakan lakaran sejarah penting pengajian tinggi yang merupakan kolaborasi unggul antara universiti awam Malaysia dengan universiti antarabangsa di Eropah dalam industri pengajian tinggi.
Kolaborasi ini menjadikan USM sebagai universiti awam Malaysia pertama mewujudkan cawangan pesisir di benua Eropah. Era endemik Covid-19 ini membuka ruang untuk universiti menerokai kaedah baharu pengajian tinggi terutamanya untuk dalam.usaha menarik pelajar antarabangsa sebagai peluang baharu mengantarabangsakan universiti.
Program pesisir USM di Turkiye melibatkan 34 program pengajian yang telah mendapat kelulusan Senat dan menumpukan kepada program-program Ijazah Tinggi dan program Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan secara hibrid.
Program pesisir USM-EGS ini bermodelkan konsep usahasama dengan silabus dan kualiti akademik akan dikawalselia oleh pihak USM, manakala fasiliti kemudahan pembelajaran dan makmal akan disediakan oleh pihak EGS.
Peruntukan pelaburan yang dibuat oleh EGS pada masa ini sekitar USD5 juta untuk tempoh lima tahun termasuk menyediakan bangunan 10 tingkat dan fasiliti dalaman untuk para pelajar.
Bagi mendapat kembali pulangan pelaburan tersebut, program ini akan berjalan selama 10 tahun dan terdapat pembahagian yuran bagi menampung kos fasiliti dalam menjalankan kursus di Turkiye.
Sejak dilancarkan kampus pesisir ini, sebanyak 135 pelajar antarabangsa telah memohon untuk program yang ditawarkan di Istanbul Turkiye ini.
Sebelum ini USM sebelum juga menawarkan program ijazah Doktor Perubatan di India sejak tahun 2010. Sehingga kini seramai 668 orang siswazah telah dihasilkan melalui pengajian pesisir ini.

    Deputy Vice-Chancellor ( Academic & International )
    Chancellory, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang, Malaysia
    Tel : +604 653 3295  |  Fax: +604 656 6699  |  Emel :This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  

    Hak Cipta © 2022 Universiti Sains Malaysia.